KUALA LUMPUR, 21 Mei- Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini untuk perbicaraan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru di sebuah bilik hotel di sini Mac lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam agar kedua-dua pertuduhan dihadapi Avitan, 38, dibicarakan bersama mengikut Seksyen 165(1) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan ia melibatkan tertuduh sama dan insiden yang serupa.
Mahkamah membenarkan kedua-dua kes dibicarakan bersama dan menetapkan 30 September, 1 hingga 3 Oktober dan 7 hingga 11 Oktober sebagai tarikh perbicaraan, serta 28 Jun ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Terdahulu, Avitan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac.