fb fb fb fb fb

Mahkamah tetapkan 28 Ogos untuk serahan dokumen kes lelaki cuba bunuh isteri di KLIA

Tertuduh, Hafizul Hawari diiringi polis ketika tiba di perkarangan mahkamah

SEPANG, 25 Julai- Mahkamah Sesyen Sepang hari ini menetapkan 28 Ogos depan untuk penyerahan dokumen bagi kes Hafizul Hawari yang disyaki terlibat dalam kejadian melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Hafizul didakwa cuba membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu April lalu.

Hakim Amir Affendy Hamzah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah memaklumkan dokumen laporan perubatan, kimia dan forensik belum diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Shazwani memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen berikutan laporan perubatan penuh, laporan kimia tempat kejadian dan forensik masih belum diserahkan.

Semasa prosiding, peguam Nik Azim Azlan yang mewakili Hafizul Hawari mengesahkan bahawa dokumen separa telah diserahkan kepada pembelaan, manakala tiga lagi dokumen belum.

Pada 25 April lepas Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE