fb fb fb fb fb

Ops Lejang: 81 kenderaan, 30 komponen kenderaan dirampas

FOTO FAIL

JOHOR BAHRU, 25 Julai - Polis Johor merampas 81 buah kenderaan dan 30 buah komponen kenderaan, dipercayai terlibat jenayah curi kenderaan menerusi Ops Lejang yang dijalankan pada 21 Jun hingga 21 Julai lalu di seluruh negeri.

Ketua Polis Johor Komisioner Polis M. Kumar berkata, operasi turut menahan 116 individu berumur 16 hingga 59 tahun termasuk beberapa ahli sindiket dan kumpulan curi kenderaan.

Seramai lapan orang dikenal pasti terlibat dalam tiga sindiket curi kenderaan mewah manakala enam orang terlibat dua kumpulan curi kereta lama dan 10 orang terlibat tiga kumpulan curi motosikal.

Sindiket dan kumpulan terlibat juga menggunakan peralatan berteknologi tinggi untuk melarikan kenderaan termasuk daripada kawasan berpengawal dan berpagar.

Selain itu, sindiket juga menggunakan kereta sewa ketika menjalankan kegiatan mereka, selain menggunakan alat pengesan untuk mengenal pasti lokasi kenderaan yang akan dicuri.

"Alat ini digunakan untuk menghidupkan mana-mana enjin kenderaan, apabila menjumpai kenderaan yang mereka sasarkan dan tempat yang sesuai, mereka akan gunakan sistem alat ini untuk membuka kenderaan tersebut dan mematikan lekapam sekuriti kenderaan tersebut," kata M. Kumar dalam satu sidang media, di sini.

Kesemua kenderaan yang dicur dipercayai untuk dipasarkan ke luar negara susulan mendapat permintaan tinggi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A, Seksyen 411, dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 29 ( 1 ) Akta Kesalahan Kecil.

Sejak Januari hingga kini sebanyak 69 kenderaan mewah dan pacuan empat roda dilaporkan hilang di Johor.

TETITIA YUSOFF