fb fb fb fb fb

Lori rempuh enam kenderaan di lampu isyarat, kerosakan brek

Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta ketika semua kenderaan itu berhenti di lampu isyarat

TASEK GELUGOR, 21 Januari- Sebuah lori merempuh enam kenderaan lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Ara Kuda di sini semalam, dipercayai akibat kerosakan brek.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Siti Nor Salawati Saad menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian itu menyebabkan seorang pemandu kereta mengalami kecederaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Kemalangan pada 11.15 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Tasek Gelugor menghala ke Lunas, Kedah tidak dapat berhenti kerana kegagalan brek.

"Ketika tiba di lampu isyarat, pemandu lori memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan kanan selepas brek gagal berfungsi, sebelum merempuh enam kenderaan yang berhenti di lampu isyarat itu," katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 28 saat menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta ketika semua kenderaan itu berhenti di lampu isyarat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE