fb fb fb fb fb

Kes rogol pelajar tingkatan 4, ibu kandung pula direman bantu siasatan

Ibu kandung mangsa rogol (kiri) dibawa ke mahkamah bagi proses permohonan reman, hari ini.

KEMAMAN, 21 Januari- Seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes anak kandungnya berusia 16 tahun yang didakwa dirogol oleh seorang buruh berusia 18 tahun pada awal bulan ini.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas wanita berusia 43 tahun itu bermula Ahad hingga Sabtu depan.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, wanita itu ditahan kira-kira jam 7.00 petang semalam selepas siasatan awal dijalankan berhubung kes itu.

Beliau berkata, ibu kandung mangsa ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

"Laporan awal mendapati mangsa mendakwa dirogol lelaki berusia 18 tahun beberapa minggu lalu dan bapa tirinya yang berusia 32 tahun dipercayai menjadi dalang kes berkenaan.

"Bagaimanapun, selepas siasatan lanjut dilakukan, mangsa turut mendakwa dia pernah dirogol bapa tirinya itu di kediamannya sebelum ini," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Hanyan berkata, polis telah menahan lelaki berusia 18 tahun dan bapa tiri mangsa yang merupakan pengumpul barangan terpakai awal pagi Sabtu lalu.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Sabtu sehingga Jumaat depan.

Mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu telah dirujuk ke Hospital Kemaman (HK) untuk pemeriksaan lanjut.

Ujar Hanyan, pada masa yang sama, polis akan melihat sama ada terdapat penglibatan ibu mangsa dan wujud pengabaian terhadap kanak-kanak dalam kes berkenaan.

"Kita akan melihat sama ada terdapat penglibatan ibu mangsa dalam kes ini dan akan menyiasat sekiranya wujud pengabaian terhadap mangsa mengikut Seksyen 3 AKKSTKK," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI