fb fb fb fb fb

Lima warga Iran didakwa kes dadah, imigresen dan curi

FOTO RTM

GEORGE TOWN, 15 Ogos – Lima warga Iran, termasuk dua wanita, dihadapkan ke mahkamah berasingan di sini atas pelbagai pertuduhan melibatkan kesalahan jenayah dadah, imigresen dan mencuri.

Tertuduh terdiri daripada Tarfi Ghader, Fazeli Payam, Dinarvand Siavash, Zahra Hasani dan Sara Ghiyas. Bagaimanapun, pertuduhan tidak dapat dibacakan kerana kesemua tertuduh tidak memahami bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Bagi kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Timbalan Pendakwa Raya memohon agar tiada jaminan dibenarkan. Majistret Siti Nurul Suhaila kemudian menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu jurubahasa Parsi.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, kelima-lima tertuduh turut berdepan pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952. Kes tersebut juga ditangguhkan ke 10 September.

Di mahkamah lain, Tarfi Ghader, 33, didakwa mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes untuk mendapatkan jurubahasa.

Sebelum ini, polis menahan kesemua suspek bagi membantu siasatan kes pukau yang menyasarkan pelancong asing di negeri itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE