JOHOR BAHRU, 15 Ogos - Dua operator kilang warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan berkaitan kumpulan penganas Islamic State (IS).
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Md Mamun Ali, 31 tahun dan Md Refat Bishat, 27 tahun, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh pertama, Md Mamun didakwa memberi sokongan kepada pengganas IS melalui aplikasi media sosial facebook menggunakan nama Sahifulla Islam pada 28 Julai 2023 hingga 30 April tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara hingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tertuduh kedua Md Refat pula didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki sekeping gambar bendera IS di dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan itu dilakukan pada 4.30 petang, 10 Julai lalu di sebuah kilang, Jalan Datin Haliman, Johor Bahru.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Ab Manaf dan Nur Ainaa Ridzwan memohon kes ditangguh ke tarikh lain bagi khidmat jurubahasa Bangladesh dikemukakan untuk pertuduhan dibacakan semula.
Tiada jaminan dibenarkan, sebutan kes ditetapkan 12 September depan.