fb fb fb fb fb

546 ditahan, RM53,000 dadah dirampas dalam Op Tapis Perak

FOTO FB Polis Perak

IPOH, 15 Ogos - Polis Perak menahan seramai 546 individu atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Op Tapis secara serentak di seluruh negeri bermula Isnin lepas hingga Rabu.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, operasi tersebut turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan lebih RM 253,000.

Beliau memaklumkan, serbuan dilakukan di sarang penagih yang dikenalpasti antaranya kawasan Felda, Felcra, Projek Perumahan Rakyat (PPR), perkampungan nelayan dan ladang swasta.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 65 tahun.

"Dalam operasi tersebut, seramai 153 orang ditahan atas kesalahan memiliki dadah dan 72 orang disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

"Sementara 317 penagih telah disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 4 individu ditahan dibawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Datuk Noor Hisam lagi, operasi terbabit turut berjaya menahan lapan individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki.

Dadah yang dirampas antaranya heroin seberat 209 gram, syabu 214 gram, ganja 26 gram, ketamin 255 gram, pil eramin 5 283. gram, ekstasi seberat 39 gram, daud ketum 15,500 gram dan 53 liter air ketum.

Penahan turut melibatkan 22 warga asing daripada Indonesia (4), Thailand (2), Myanmar (5), Ukraine (1) dan Kemboja (10).

Operasi kali ini melibatkan 270 anggota termasuk bantuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE