JOHOR BAHRU, 15 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita empat kenderaan e-hailing berdaftar di Singapura yang dipandu warga republik itu kerana membawa penumpang tanpa permit sah.
Kenderaan berkenaan disita menerusi Op Khas E-Hailing Kenderaan Asing di sekitar bandar raya berkenaan sejak 9 Ogos lepas.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua kenderaan yang disita tidak memiliki lesen pengendali, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam serta tiada cukai jalan Malaysia.
"Sekiranya berlaku kemalangan dan melibatkan penumpang-penumpang, pelancong-pelancong luar dan kemalangan itu terjadi di dalam Malaysia, ia akan menimbulkan akibat yang buruk terhadap penumpang, pemandu dan juga hubungan kedua-dua negara. Jadi sebab itulah kita tidak mahu mana-mana pihak yang tidak mempunyai lesen yang sah, tidak mempunyai permit yang sah untuk beroperasi di negara ini," katanya pada sidang media di JPJ Taman Daya di sini semalam.
Kesemua kenderaan itu ditahan dan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan disiasat mengikut Seksyen 16(1) akta sama kerana mengendalikan kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali yang sah.