fb fb fb fb fb

Polis siasat kemalangan tular di Sungai Petani

Kereta jenis Nissan Grand Livina dilanggar kereta Toyota Corolla dipandu lelaki berumur 40-an

SUNGAI PETANI, 15 Ogos - Polis menerima dua laporan berhubung insiden perlanggaran membabitkan dua kenderaan di Jalan Sekerat yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak mereka.

"Kira-kira pukul 8.30 malam, tular satu video yang memaparkan kereta jenis Nissan Grand Livina dipandu seorang lelaki berusia 30-an dilanggar oleh kereta Toyota Corolla dipandu lelaki berumur 40-an.

"Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari semalam, pemandu Nissan Grand Livina mendakwa keretanya telah dilanggar lari oleh pemandu Toyota Corolla menyebabkan dia bertindak mengekori kenderaan itu sehingga Jalan Sekerat. Selepas bergerak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, pemandu Toyota Corolla menyedari dia diekori lalu bertindak memusingkan keretanya dan melanggar sisi kanan kereta Nissan Grand Livina itu," katanya dalam kenyataan.

Menurut ACP Hanyan, pemandu Toyota Corolla itu juga keluar dari keretanya lalu bertindak mencabar dan memaki hamun pemandu Nissan Grand Livina sebelum beredar pulang ke rumahnya.

"Susulan kejadian, dua laporan diterima malam tadi, satu daripada pemandu Nissan Grand Livina manakala satu lagi daripada ibu pemandu Toyota Corolla," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan nyawa.

Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal pergerakan kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan. BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN