fb fb fb fb fb

Lepaskan suspek kes air ketum, sarjan mengaku tidak bersalah

Muhammad Hafiz Anuar, 34 tahun mengaku tidak bersalah

KUANTAN, 19 September – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM1,500 sebagai dorongan untuk melepaskan dua individu yang disyaki memiliki air ketum.

Muhammad Hafiz Anuar, 34 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Februari tahun lalu, kira-kira pukul 6.17 petang.

Tertuduh didakwa meminta rasuah daripada Mohamad Zaliyar Ramli dan anaknya, Muhammad Zamarul Mohd Zaliyar, yang ketika itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Mahkamah menetapkan serahan dokumen pada 23 Oktober depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN