fb fb fb fb fb

Lelaki warga tempatan ditahan, sepucuk pistol dirampas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas sepucuk pistol jenis Steyr GB Austrian 9mm bersama-sama 18 butir peluru di kediamannya di Sungai Buaya, Hulu Selangor pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintenden (DSP) Mohd Asri Mohd Yunus dalam satu kenyataan berkata, tangkapan itu dilakukan susulan polis menerima laporan daripada isteri suspek mengatakan mereka telah berselisih faham dan memaklumkan bahawa suaminya memiliki sepucuk pistol pada hari sama.

"Pemeriksaan ke atas kediaman suspek berusia 47 tahun itu turut menemui satu kelopak peluru berwarna hitam," katanya.

Bagaimanapun hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Julai ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI