fb fb fb fb fb

Polis tahan wanita disyaki dera anak tiri

FOTO FAIL

KOTA BHARU, 21 Julai - Seorang wanita ditahan kerana disyaki mendera anak lelaki tirinya berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Yik Perdana, Kok Lanas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud dalam satu kenyataan berkata, polis menerima laporan kejadian daripada bapa kanak-kanak terbabit yang berusia 30-an pada Khamis lepas.

Beliau berkata anak sulung berkenaan dipercayai didera sejak 10 Julai lepas semasa bapa mangsa berada di Kuala Lumpur kerana urusan kerja.

“Bapa mangsa hanya mengetahui anaknya didera ketika pulang ke rumah pada 12 Julai apabila melihat terdapat kesan lebam di bahagian kepala, lengan dan mata kanak-kanak itu.

“Hasil siasatan mempercayai mangsa yang merupakan murid sebuah sekolah rendah di Kok Lanas telah dibawa ke bilik air dan suspek turut menghentakkan kepala mangsa ke dinding serta menyepak kedua-dua belah tangan mangsa,” katanya.

Mohd Rosdi berkata selain itu, mangsa juga telah dikurung di dalam tandas hingga keesokan hari tanpa diberi makan dan minum.

Wanita berkenaan, katanya direman hingga Selasa ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

TETITIA YUSOFF