fb fb fb fb fb

Bekas banduan hadapi pertuduhan miliki bahan berkaitan dan sokong Daesh

Foto RTM

KOTA BHARU, 21 Julai - Seorang bekas banduan yang juga penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas empat pertuduhan memiliki bahan berkaitan militan Daesh dan memberikan sokongan kepada kumpulan itu pada 10 Jun lalu.

Tertuduh Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 40 tahun menggangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Tiada sebarang keterangan direkodkan berikutan kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa memiliki 1,020  keping gambar, 26 video dan 321 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) di dalam sebuah telefon bimbit serta memiliki 378 keping gambar, 36 video dan 244 artikel dalam bentuk PDF di dalam sebuah telefon bimbit lain, yang juga adalah item yang mempunyai kaitan dengan perbuatan pengganas dan kumpulan Daesh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal Kota Bharu pada 10 Jun 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah peruntukan sama yang boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ahmad Saif Al-Islam Il.

Kesalahan itu  dilakukan di lbu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada 10.15 malam, 10 Jun 2024.

Pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengaku keahlian Daesh dengan cara melakukan upacara baiah dengan Abu Hafs Al-Hashimi Al-Qurashi pemimpin Daesh sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan itu. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal Kota Bharu, pada 10 Jun 2024.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut perenggan 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah peruntukkan sama yang boleh dipenjara maksimum 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Shafiq berkata, kes berkenaan tidak boleh dijamin dan memohon satu tarikh baru untuk laporan pakar serta izin memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan sebagai sebutan semula kes untuk laporan pakar dan keputusan permohonan untuk pemindahan perbicaraan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Nik Mohd Shalahuddin ditahan di Johor dan dipenjarakan tiga tahun bermula 2018 hingga 2020 selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan berkaitan Daesh.

TETITIA YUSOFF