fb fb fb fb fb

Lelaki Thailand didakwa edar dadah

Lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Jitra, hari ini atas tuduhan mengedar 331 kilogram dadah jenis methamphetamine.

KUBANG PASU, 18 Disember - Seorang lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret Jitra, hari ini atas tuduhan mengedar 331 kilogram dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh, Muhammad Chemudo, 37, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd. Sobri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan hutan Durian Burung, Padang Terap berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, 9 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman tidak kurang 15 sebatan akan dikenakan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan ketika berada di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Padang Terap pada malam kejadian.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, patologi dan kehadiran jurubahasa bahasa Thai.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN