KOTA BHARU, 18 Disember - Remaja perempuan yang terlibat kes rogol bawah umur secara suka sama suka di Kelantan, dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) bermula Oktober lalu untuk tindakan lanjut bawah Mahkamah Syariah.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata setakat ini lima remaja perempuan terbabit kes itu telah dirujuk kepada JAHEIK.
Jelas beliau, perkara tersebut diputuskan dan dilaksana selepas mesyuarat pihaknya bersama JAHEIK dua bulan lepas.
Menurut Datuk Mohd Yusoff, langkah berkenaan susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V supaya kes-kes melibatkan hubungan suka sama suka diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri.
"Ini membolehkan pendakwaan dilakukan ke atas remaja perempuan terlibat.
"Sebelum ini biasanya pihak lelaki dituduh di mahkamah sivil dan tiada peruntukan undang-undang untuk remaja perempuan bawah umur diambil tindakan. Jadi, sekarang kita serahkan kepada JAHEIK," jelas beliau.
Tambah Datuk Mohd yusoff, perkara yang sama juga dilakukan kepada golongan wanita bukan kategori bawah umur yang melakukan perbuatan amang seksual secara suka sama suka.
Pihaknya berharap pendekatan tersebut dapat menangani jenayah rogol dan amang seksual melibatkan persetujuan bersama di negeri itu.
Beliau pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan turut memaklumkan, kes rogol di negeri berkenaan menunjukkan trend menurun.
"Kita tidak pasti sama ada kerana pihak mangsa atau keluarga enggan membuat laporan polis atau sebaliknya. Kebanyakan kes baharu dilaporkan oleh pihak hospital selepas mendapati remaja terbabit hamil," jelasnya.