KEMAMAN, 18 Disember - Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memperdaya seorang mangsa yang menyertai kutu lelong dengan menyerahkan wang berjumlah RM10,250 pada Oktober lalu.
Tertuduh, Noor Suzila Adnan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Dia didakwa telah menipu seorang wanita berusia 32 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh lalu menyerahkan wang pelaburan kepada kutu lelong.
Tertuduh juga telah mendorong mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM10,250 ke akaun miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh antara pukul 10.23 pagi hingga 10.41 malam pada 23 Oktober hingga 19 November lalu di Kampung Laut ,Pasir Gajah, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari 2026 untuk sebutan semula kes berkenaan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin.
Media sebelum ini melaporkan, wanita terbabit diburu polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan dikenali 'Kutu Lelong' dari Julai hingga November tahun ini yang menyebabkan kerugian kira-kira RM701,000.