fb fb fb fb fb

Lelaki terlibat kes samun di Tanjung Rambutan sedang dikesan

FOTO HIASAN

IPOH, 11 Februari - Polis Perak sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes samun di Tanjung Rambutan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisoner (ACP) Yahaya Hassan berkata, laporan mengenai kejadian diterima daripada mangsa berusia 38 tahun pada hari sama. 

Siasatan mendapati, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai penjual susu lembu ketika berada di rumahnya. 

"Semasa sedang berurusan dengan lelaki tersebut, suspek bertindak agresif dengan menolak mangsa dan menarik dua utas rantai emas miliknya. 

Mangsa turut diugut akan dicederakan sekiranya menjerit meminta pertolongan sebelum suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 392 kanun keseksaan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Fadli Ahmad di talian 0192500019 bagi membantu siasatan.

TETITIA YUSOFF