KULAI, 9 April- Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam dua kejadian samun bersenjata di Kulai, 4 April lalu, berjaya diberkas polis, kurang dua jam selepas jenayah itu dilakukan.
Suspek berusia 40 tahun ditahan di Jalan Skudai-Gelang Patah, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Tan Seng Lee, polis berjaya merampas beg tangan, dompet, telefon, beg galas dan barang kemas serta peralatan bertukang.
Suspek juga mempunyai 15 rekod lampau, selain positif dadah.
"Dalam kejadian di Jalan Seri Putra tersebut, suspek dipercayai meragut seorang wanita Indonesia dan mencederakan mangsa dengan menetak menggunakan parang.
"Mangsa yang dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai kini dalam keadaan stabil.
"Seorang lagi mangsa merupakan wanita tempatan berusia 36 tahun, yang disamun di Jalan Impian Senai Utama," menurut kenyataan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Lelaki terlibat dua kes samun bersenjata di Kulai, ditahan
