KOTA BHARU, 8 April – Sebanyak 1,759 buah kenderaan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang pelaksanaan Ops Khas Sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang bermula pada 24 Mac lalu hingga malam tadi.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata sepanjang operasi itu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 2,941 keping notis atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,249 notis saman JPJ P22 telah dikeluarkan.
"Ini termasuk 120 notis panggilan temusiasat, 239 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1), 231 notis arahan periksa kenderaan mengikut Seksyen 66(1) dan 15 notis penahanan kenderaan di bawah Seksyen 64(1).
"Kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh merupakan kesalahan tertinggi direkodkan dengan 402 notis dikeluarkan," kataya pada sidang media selepas penutup Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, malam tadi.
Menurut beliau, dalam tempoh operasi tersebut, JPJ turut memeriksa 2,585 buah motokar, 1,904 buah motosikal dan 2,516 buah kenderaan perdagangan berat.
Sebanyak empat buah kenderaan pula diambil tindakan semasa pelaksanaan Total Roadblock Band.
Dalam pada itu, JPJ Kelantan juga melaksanakan 14 trip penyamaran menggunakan bas sebagai sebahagian kaedah pemantauan terhadap pemandu pengangkutan awam.
Katanya, sebanyak 12 notis telah dikeluarkan kepada pemandu bas yang dikesan melakukan kesalahan semasa berada di atas jalan raya.
Sementara itu, pemeriksaan yang dijalankan di terminal pula merekodkan sebanyak 12 notis dikeluarkan ke atas pemilik bas, manakala 10 notis lagi dikeluarkan melalui strategi pemantauan secara tersembunyi (covert) dan terbuka (overt).
Tambah Mohd Misuari, pelaksanaan operasi khas ini merupakan antara langkah berterusan JPJ dalam memastikan aspek keselamatan jalan raya terus diperkukuh, khususnya ketika musim perayaan.