fb fb fb fb fb

Lelaki tempatan ditahan, 14 kes samun ragut di 2 negeri terungkai

Foto hiasan

GEORGETOWN, 22 Oktober - Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit kegiatan samun ragut di dua negeri berjaya diberkas dalam satu serbuan di Sitiawan, Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dalam serbuan di sebuah rumah pada pukul 2 pagi, 12 Oktober lalu.

Pihaknya turut merampas sebuah motosikal yang disyaki digunakan suspek bagi melakukan jenayah berkenaan.

"Suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes samun ragut sehingga mendatangkan cedera di daerah Timur Laut.

"Susulan itu, polis berjaya merungkai sebanyak 11 kes samun ragut di sekitar Pulau Pinang dan tiga lagi di Kulim, Kedah", katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, modus operandi suspek adalah menunggang motosikal dan menyasarkan penunggang motosikal lelaki yang memakai rantai emas.

"Suspek ditahan reman selama 10 hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera pada mangsa rompakan", katanya.

Menurutnya lagi, semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan enam berkaitan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.

"PDRM menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli masyarakat," katanya.

Trainee