GEORGETOWN, 22 Oktober - Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah dalam sindiket pecah rumah di Seberang Perai melalui tangkapan lima individu termasuk seorang wanita pada 16 Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 47 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di kawasan perumahan Eco Meadows di Bukit Tambun, di sini.
"Aktiviti jenayah kumpulan terbabit terbongkar selepas pengawal keselamatan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati terdapat dua orang lelaki dalam keadaan mencurigakan memasuki beberapa buah rumah di perumahan tersebut kira-kira pukul 3 pagi.
"Susulan itu, pengawal keselamatan terbabit kemudiannya segera ke balai polis bagi melaporkan kejadian terbabit", katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semakan rekod turut mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah.
"Polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan mereka antaranya dua buah kereta, tiga buah motosikal, lima buah telefon bimbit serta beberapa peralatan pecah rumah seperti pahat besi, sarung tangan, topeng muka dan parang.
"Siasatan lanjut mendedahkan kesemua mereka terlibat secara aktif dengan kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Seberang Perai sejak pertengahan tahun ini", katanya.
Tambah beliau lagi, modus operandi kumpulan terbabit menyasarkan rumah mewah dan berpagar keselamatan dengan bergerak secara berjalan kaki serta menggunakan alat pahat kecil untuk mengumpil pintu utama.
"Penangkapan kumpulan penjenayah terbabit telah berjaya menyelesaikan 28 kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di tiga daerah di Seberang Perai yang melibatkan kerugian melebihi RM100,000", ujarnya.