JOHOR BAHRU, 27 Mac-Seorang lelaki kerdil, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berumur lima tahun, di sebuah pusat beli belah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Hafizwan Ayob, 30 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai jurujual, didakwa melakukan amang fizikal, bagi maksud seksual, terhadap kanak-kanak perempuan, yang ketika kejadian berumur lima tahun.
Perbuatan itu dilakukan pukul 8.15 malam, 16 Mac lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak – Kanak.
Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dan kes disebut semula pada 28 April depan.