fb fb fb fb fb

Gadis mengaku bersalah amang seksual remaja perempuan 13 tahun

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 27 Mac- Seorang operator kilang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 13 tahun 7 bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebanyak dua kali di sebuah kediaman di Felda Sungai Sibol, Kulai, pada pertengahan tahun lalu dan Februari tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin, mengendalikan kes berkenaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 28 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE