fb fb fb fb fb

Kastam Sabah rampas arak, rokok dan barangan elektrik bernilai RM879,000

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menunjukkan bukti barang rampasan dalam sidang media pada Rabu/Foto Facebook JKDM

KOTA KINABALU, 27 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas pelbagai barangan disyaki cuba diseludup masuk ke negeri ini dalam empat serbuan berasingan dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM878,855.76.

Memangku Tugas-Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, rampasan membabitkan rokok, minuman keras serta barangan elektrik termasuk wayar.

Barang rampasan itu dikesan di kawasan Pelabuhan Sepanggar, sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu, Pasar Tamu Brumas Tawau dan Terminal Bas Ekspres Lahad Datu dalam operasi baru-baru ini.

“Rampasan minuman keras dilakukan pada 4 Mac lalu di Pelabuhan Sepanggar dan premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, manakala rampasan rokok dilakukan pada 5 dan 7 Mac di Tawau, dan barangan elektrik dirampas pada 6 Mac di Lahad Datu,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Tambah beliau, hasil serbuan di premis perniagaan di Kota Kinabalu, seramai enam individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua kes menggunakan taktik membuat pengikraran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kesemua rampasan ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 yang jika disabitkan kesalahan, memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 (mengikut mana lebih tinggi), dan tidak melebihi dua puluh kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000, atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Sehubungan itu, JKDM menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat dan membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, dadah, mercun, kenderaan dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN