fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan miliki 63 tong gas LPG tanpa kebenaran

Sebanyak 63 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM5,000 dirampas menerusi operasi pemeriksaan berkaitan barang kawalan di Tanjung Malim

IPOH, 16 Julai - Sebanyak 63 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM5,000 dirampas menerusi operasi pemeriksaan berkaitan barang kawalan di Tanjung Malim, pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata kesemua tong LPG itu disyaki disimpan di sebuah stor tanpa lesen atau permit menyimpan Barang Kawalan (CSA).

"Semasa pemeriksaan dijalankan, seorang lelaki tempatan berumur 50-an yang disyaki pemilik perniagaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan.

Kamaluddin berkata, siasatan lanjut juga akan dijalankan ke atas syarikat pemborong barang kawalan LPG itu kerana kesalahan menjual barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN