BEDONG, 18 Ogos – Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan selepas disyaki membakar rumah yang didiami bersama dua abangnya di Kampung Baru Sungai Lalang, Bedong, Kedah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam apabila seorang mangsa berusia 43 tahun menerima panggilan daripada saudaranya yang memaklumkan rumahnya terbakar.
Mangsa mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada adiknya yang mengamuk sebelum membakar rumah berstruktur papan dan bata tersebut. Api turut merebak ke rumah jiran.
Bertindak atas laporan polis, suspek berjaya ditahan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku memulakan kebakaran dengan membakar kertas menggunakan pemetik api di dalam rumah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.