fb fb fb fb fb

7 individu ditahan jual pelbagai bahagian hidupan liar

Foto fail

PETALING JAYA, 18 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras dan Wildlife Crime Unit (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berjaya membongkar kegiatan penjualan hidupan liar dilindungi.

Ia menerusi operasi bersepadu dua premis serta empat gerai menjual cenderamata di Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Tujuh individu termasuk dua warga Indonesia ditahan.

"Pemeriksaan menemui pelbagai bahagian hidupan liar dipercayai dilindungi antaranya seperti kuku, taring, kulit harimau, beruang, buaya serta gading gajah melibatkan nilai rampasan lebih RM200,000.

"Kesemua barang rampasan merupakan spesis yang dilindungi dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]," menurut kenyataan PERHILITAN.

Operasi turut disertai pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang mengeluarkan dua kompoun atas pelbagai kesalahan.

Semua suspek dan barang rampasan kini diserahkan kepada PERHILITAN untuk siasatan lanjut.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan perdagangan haram hidupan liar selaras dengan usaha memastikan pemuliharaan spesies dilindungi dan kelestarian biodiversiti negara terus terpelihara.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI