LANGKAWI, 17 Ogos - Tujuh individu termasuk dua wanita ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan menggunakan wang palsu di beberapa premis sekitar pulau peranginan ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung penggunaan wang kertas RM100 palsu di kawasan Chenang, Padang Matsirat dan Kuah.
“Hasil maklumat awam serta laporan diterima, polis berjaya menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 24 hingga 36 tahun di dua lokasi berasingan bermula jam 8.30 malam.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan ada antara mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, semua suspek direman tiga hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menggunakan wang palsu.