BUKIT KAYU HITAM, 18 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan lapan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap lapan warga asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, mereka yang ditolak masuk terdiri daripada seorang lelaki warga Pakistan, dua lelaki warga India, seorang lelaki warga Afghanistan, seorang lelaki warga Sri Lanka serta tiga wanita warga Indonesia.
Katanya, NPM dikeluarkan mengikut peruntukan Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mematuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.
“Kesemua individu berkenaan telah diarahkan berpatah balik ke negara asal masing-masing melalui laluan masuk yang sama. Proses ini dilaksanakan sepenuhnya mengikut Standard Operating Procedure (SOP) dan pekeliling jabatan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tiada sebarang rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti dalam kes tersebut.