KOTA KINABALU, 18 Ogos – Mahkamah Koroner menetapkan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina Mahathir bermula 3 September ini.
Prosiding akan berlangsung selama 19 hari dengan tarikh ditetapkan pada 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, serta 22 hingga 30 September.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz memutuskan perkara itu pada sebutan kes di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengendali Kes, Mohd Fairus Johari memaklumkan, sebanyak 195 kenyataan saksi telah direkodkan, manakala senarai deponen akan dimuktamadkan sebelum prosiding bermula.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat susulan permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, selaras Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
AGC sebelum ini, pada 13 Ogos, mengumumkan keputusan untuk mengadakan inkues selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa lalu.