BATU PAHAT, 17 Mei- Seorang lelaki berumur 33 tahun ditahan bersama sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM1.609 juta, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Mulia, Batu Pahat, Johor pada 7 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan itu turut melibatkan sitaan terhadap sebuah kereta dan wang tunai, yang dianggar bernilai RM45,000.
"Dadah yang dirampas, terdiri 9,465 gram ekstasi dan 460 gram ketamin. Ia boleh digunakan oleh kira-kira 47,000 penagih.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kediaman terbabit sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
"Aktiviti pengedaran dijalankan secara berseorangan, dan dikesan aktif sejak bulan lepas," menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.