GEORGE TOWN, 17 Mei - Seorang jurutera kerugian RM300,000 akibat terpedaya dalam penipuan pelaburan dalam talian baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata mangsa, seorang lelaki berumur 55 tahun telah melihat satu iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Facebook pada awal April lalu yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
Mangsa yang berhubung dengan suspek, seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp, kemudian menyertai pelaburan berkenaan setelah diminta memuat turun satu aplikasi dan mendaftar sebagai ahli.
Datuk Hamzah berkata mangsa telah melakukan tujuh transaksi dengan memasukkan wang ke dalam satu akaun atas nama sebuah syarikat bagi pelaburan itu.
Mangsa kemudian ke kaunter bank untuk membuat transaksi tambahan tetapi tidak dibenarkan pihak bank yang memaklumkan dia sebenarnya telah menjadi mangsa penipuan.
Susulan itu mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.