KUALA LUMPUR, 11 September- Seorang lelaki ditahan polis serta 65.6 kilogram ganja bernilai RM203,632 dirampas dalam dalam dua serbuan di kondominium di Cheras dan Segambut, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ravindar Singh Sarban Singh dalam sidang media hari ini memaklumkan lelaki berusia 30-an itu ditahan di Cheras pada 9 malam, yang kemudian membawa kepada penemuan ganja seberat 62.56 kg hasil pemeriksaan di unit kondominium di situ.
Turut dirampas sebuah kereta Perodua Axia dan wang tunai RM100.
"Hasil soal siasat terhadap lelaki itu, polis bertindak ke sebuah lagi kondominium di Segambut dan pemeriksaan menemukan 3.1 kg ganja bersama peralatan penimbang dan 'vacuum sealer', dipercayai digunakan dalam pembungkusan dadah itu.
"Siasatan awal mendapati suspek yang bergerak aktif sejak awal tahun ini menyewa kondominium di Segambut bagi menyimpan dan membungkus semula dadah dibeli,"katanya.
Jelas Ravindar, lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai membeli dadah berkenaan daripada seorang individu tempatan di bandar raya ini sebelum dibungkus semula dalam pek seberat lima gram hingga satu kilogram untuk dijual kepada penagih.
Suspek direman seminggu hingga esok dan dijangka disambung reman.
kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.