fb fb fb fb fb

Lelaki didenda RM90,000 miliki 44,000 liter diesel tanpa lesen sah

FOTO KPDN WP LABUAN

LABUAN, 17 Mac– Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Labuan hari ini atas tiga pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual, iaitu 44,000 liter minyak diesel, tanpa lesen sah.

Tertuduh, Tee Neng Yee, 33, membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM90,000 terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki 40,000 liter, 2,000 liter, dan 2,000 liter minyak diesel dalam tangki Flexi serta tangki IBC berasingan. Dia juga didapati berurusan dengan barang kawalan tersebut secara borong dan runcit tanpa lesen sah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kawasan perindustrian di Kampung Sungai Bangat pada 27 Mac 2023, sekitar jam 1 petang.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dibaca bersama Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta bagi kesalahan pertama, dan tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan berikutnya.

Mahkamah mengenakan denda RM60,000 atau penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama, serta denda RM15,000 atau penjara enam bulan masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain, mengesahkan keputusan mahkamah dalam satu kenyataan rasmi.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE