fb fb fb fb fb

Jenayah komersial cecah RM3.1 bilion, sindiket ‘phone scam’ mendominasi kes

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf/BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Sebanyak 41,701 kertas siasatan dibuka membabitkan siasatan terhadap jenayah komersil dengan nilai kerugian berjumlah RM3.1 bilion, tahun lalu.
 
Sebahagian besar adalah kes membabitkan sindiket penipuan siber dan dalam talian atau "phone scam" secara berkumpulan yang dikesan berlaku dan tertumpu di negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kebanyakan kumpulan sindiket terbabit beroperasi di kondominium mewah yang disewa atau dibeli.
 
Malah pada tahun lepas sahaja pihaknya telah melakukan 23,000 tangkapan berkualiti membabitkan sindiket penipuan terbabit.
 
Tegasnya, pihak berkuasa termasuk polis atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mahupun Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak pernah bekerja menerusi satu panggilan bersambung seperti dilakukan pihak sindiket.
 
"Jadi, saya nak yakinkan kepada masyarakat di luar sana bahawa tidak ada panggilan-panggilan yang di sambung-sambung sedemikian. Polis ke mana-mana agensi dalam Malaysia ini. Tolonglah, percaya bahawa tidak ada sambung-sambungan semacam itu.

Kami tidak bekerja seperti itu dan orang-orang yang buat kesalahan, polis tidak akan panggil. Polis panggil ada cara dia," kata Datuk Seri Ramli kepada pemberita, hari ini.
 
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
 
Menurutnya, penipuan pelaburan mata wang kripto juga dikenal pasti antara trend terbaharu yang menyumbang kepada peningkatan kes dan kerugian membabitkan jenayah komersial.
 
Sebahagian besar mangsa penipuan terbabit terdiri golongan profesional dan warga emas.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM