KUALA LUMPUR, 17 Mac- Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 24 Mac bagi keputusan ikat jamin Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Nasiruddin Mohd. Ali dan isterinya Azura Md Yusof.
Turut terlibat ialah 19 lagi individu yang didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah.
Tarikh itu ditetapkan dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar selepas mendengar hujah daripada kedua belah pihak.
Terdahulu semasa prosiding, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili Nasiruddin ketika berhujah dalam rayuan jaminan berkata kedua-dua anak guamnya mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan khusus.
Dalam pada itu, peguam-peguam lain Kamal Hisham Jaafar dan Najib Zakaria dalam rayuan mereka turut memaklumkan pemohon-pemohon akan mematuhi segala syarat tambahan sekiranya dibenarkan ikat jamin.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hashim berkata Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) telah memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan jaminan dengan syarat tertuduh memenuhi syarat yang diperuntukkan seksyen itu iaitu seorang individu yang berumur di bawah 18 tahun, seorang perempuan atau seorang yang sakit atau uzur.