fb fb fb fb fb

Lelaki didenda RM20,000 kerana lindung warga Bagladesh

FOTO FAIL

KANGAR, 31 Disember - Bekas pemilik kedai aksesori kereta didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Kangar akibat melindungi dua lelaki warganegara asing.

Keputusan itu dibuat Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid selepas tertuduh Zulkifli Shaari, 49 tahun membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan Zulkifli didakwa melindungi dua lelaki Bangladesh berusia 26 dan 30 tahun di sebuah premis di Jalan Kangar-Arau pada 24 oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Hanani Che Nor memohon denda minimum memandangkan tertuduh telah menutup perniagaan dan mempunyai empat tangungan termasuk ibunya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM10,000 bagi setiap seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Perlis Shazwani Ibrahim.

TETITIA YUSOFF