KUALA LUMPUR, 31 Disember- Seorang gelandangan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh rakannya yang juga gelandangannya pada 23 November lalu.
Tertuduh, Muhammad Aiman Abdullah, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad.
Namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki, P Saravanan, di bawah jambatan Jalan Tun Sambathan berhampiran sebuah hotel di KL Sentral, antara pukul 9.45 malam hingga 10.07 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh digantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan, sekiranya sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.