fb fb fb fb fb

Tiga warga Thailand didenda RM9,000, miliki petrol dan diesel tanpa lesen

Foto Hiasan

KANGAR, 31 Disember - Mahkamah Sesyen Kangar menjatuhkan hukuman denda masing masing RM9,000 kepada dua lelaki dan seorang wanita warga Thailand selepas mengaku memiliki petrol dan diesel tanpa lesen pada Disember tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.  

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Manakala duit jualan minyak dijadikan aset kerajaan Malaysia dan barang kes selain pendakwaan dilupuskan.  

Perbuatan yang melanggar peraturan 3(1) peraturan-peraturan kawalan bekalan 1974 merupakan kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim. 

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Mugunthan Selvakumaran.

TETITIA YUSOFF