LANGKAWI, 25 Jun- Seorang lelaki dihadap ke Mahkamah Majistret Langkawi pagi tadi atas pertuduhan merompak sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah, Pekan Kuah Langkawi.
Tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan mohon dibicarakan.
Mahkamah menetapkan 1 Julai 2025 ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Langkawi dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin sepanjang tempoh reman.
Mengikut pertuduhan Kumar A/L Muniandy, 45 tahun didapati dengan niat melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah parang di sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah kira-kira pukul 11.48 minit pagi 19 Jun lalu dan mengambil seutas gelang emas seberat 29.62 gram.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Azlima Azizi di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal, mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan.