fb fb fb fb fb

Dana lebuh raya diseleweng untuk judi dan alkohol - SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. \Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Jun– Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, RM25 juta daripada dana projek lebuh raya MEX 2 telah disalahgunakan untuk tujuan peribadi, termasuk pembelian alkohol dan aktiviti perjudian, manakala RM11 juta lagi dikesan digunakan untuk transaksi mata wang digital yang masih belum dapat disahkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada dana keseluruhan berjumlah RM156 juta yang telah dibekukan melibatkan 14 akaun bank, yang disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

“RM25 juta dipercayai telah digunakan secara langsung untuk kepentingan peribadi seperti pembelian alkohol dan perjudian. Selain itu, RM11 juta yang dikesan berasal daripada terbitan sukuk digunakan dalam bentuk transaksi digital currency, namun tujuan sebenar pembelian masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media dibangunan SPRM hari ini.

Setakat ini, 55 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan, dan sekurang-kurangnya 10 lagi dijangka akan dipanggil dalam tempoh dua bulan akan datang.

Menurut Tan Sri Azam, SPRM turut bekerjasama rapat dengan institusi kewangan dalam usaha menyiapkan fail siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh sama.

SITI NOORAIN ABDULLAH