PUTRAJAYA, 25 Jun— Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai dan akan meneruskan permohonan memfailkan untuk melucutkan hak aset yang dirampas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk melucutkan hak aset yang ditemui dalam sebuah ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu termasuk wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas.
"Setakat ini, pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bersetuju untuk memfailkan proses pelucutan aset tersebut dalam tempoh seminggu atau dua lagi, selepas kami mengemukakan afidavit berkaitan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut Tan Sri Azam, SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada TPR untuk menentukan sebarang tindakan pendakwaan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri susulan siasatan yang telah disempurnakan.
Aset yang bakal dilucutkan itu adalah seperti yang dipamerkan kepada media semasa sidang akhbar SPRM pada Mac lalu.
Datuk Seri Ismail Sabri masih mempunyai ruang dari segi undang-undang untuk mencabar permohonan pelucutan hak aset yang sedang diusahakan oleh SPRM.