fb fb fb fb fb

Penganggur didenda RM13,000 kerana khianat & memandu cuai

Tertuduh, Mohd Firdaus Abdullah mengaku bersalah melakukan khianat dan memandu tanpa cermat hingga membahayakan orang awam

JOHOR BAHRU, 25 Jun- Seorang penganggur didenda RM13,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dan memandu tanpa cermat hingga membahayakan orang awam, dalam kejadian Ahad lalu.

Tertuduh, Mohd Firdaus Abdullah, 50, membuat pengakuan itu di hadapan dua Majistret berasingan, Atifah Hazimah Wahab dan Nur Fatin Mohd Farid.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan khianat dengan melanggar sebuah kenderaan milik Rahmat Othman di Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Majistret Atifah Hazimah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,500 bagi kesalahan tersebut.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian sepenuhnya sehingga menyebabkan bahaya, juga pada hari kejadian yang sama.

Bagi pertuduhan kedua itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan dijatuhi hukuman denda RM5,500 serta diarahkan menyerahkan lesen memandunya kepada mahkamah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE