fb fb fb fb fb

Lelaki didakwa bunuh mak mentua

Tertuduh, Zuraidi Zakaria dikawal ketat polis ketika tiba di perkarangan mahkamah / RTM

JOHOR BAHRU, 12 Februari- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh ibu mentuanya di sebuah rumah di Taman Sri Skudai, Johor Bahru, minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Zuraidi Zakaria, 51 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Epah Daik, 79 tahun di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai pada pukul 4.20 petang, 5 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sebutan semula kes ditetapkan, 28 April depan.

Sebelum ini polis mengesahkan penahanan seorang lelaki dan seorang wanita berhubung kematian warga emas tersebut yang ditemui di dalam kediaman tersebut.

Tangkapan kedua-duanya dilakukan selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap mangsa yang ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan ditutup dengan kain batik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE