fb fb fb fb fb

Lelaki dicekup selepas dua hari ragut wanita

(Suspek ragut di tepi jalan Lorong Selamat didapati positif dadah jenis syabu dan mempunyai
lima rekod jenayah lampau/FB PDRM Pulau Pinang )

GEORGETOWN, 15 Januari- Seorang lelaki ditahan selepas disyaki meragut beg tangan milik seorang wanita di tepi jalan di Lorong Selamat di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di kawasan Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada pukul 12.15 tengah malam, Sabtu.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis syabu. Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau.

"Kita merampas beberapa barangan antaranya dua buah telefon bimbit, baju, topi keledar, tiga kad bank dan wang tunai.

"Motosikal jenis Yamaha Lagenda juga disita untuk tujuan siasatan.

"Suspek juga terlibat dengan dua kes samun ragut di bandar ini bagi tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Soffian, suspek kini direman lima hari sehingga 18 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan mendatangkan kecederaan.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera di tangan kanan dan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2,800.

Kejadian tersebut turut tular di media sosial menerusi perkongsian dalam Facebook 我们是马来西亚人 We are Malaysians.

(Barangan yang dirampas daripada suspek. Suspek direman lima hari untuk bantu siasatan/
FB PDRM Pulau Pinang)

Media Baharu