TANAH MERAH, 13 Mei - Seorang lelaki dicekup polis bersama 10 biji pil yaba dalam satu operasi di kawasan kebun sawit di Kampung Bukit Gading, dekat sini malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Supt. Mohd Haki Hasbullah berkata suspek ditahan kira-kira pukul 8 malam menerusi Ops Poket oleh anggota Balai Polis Bukit Panau selepas cuba melarikan diri dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek bertindak melarikan diri sebaik dihampiri pasukan polis namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan. Pemeriksaan menemui 10 biji pil disyaki yaba disorokkan di dalam poket seluar pendeknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus menjalankan operasi bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan menyokong pelaksanaan ‘Jihad Dadah’ yang digerakkan di peringkat negeri,” katanya.
Mohd Haki turut menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin.