fb fb fb fb fb

45,100 kg kelapa cuba diseludup ke Thailand dirampas

PGA merampas 45,100 kg kelapa membabitkan nilai keseluruhan RM1.35 juta yang cuba diseludup di Kampung Terbak, kelmarin./ FB PGA

TUMPAT, 13 Mei- Cubaan tiga lelaki cuba menyeludup keluar 45,100 kilogram (kg) kelapa ke Thailand membabitkan nilai keseluruhan RM1.35 juta berjaya dipatahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Terbak, kelmarin.

Rampasan dilakukan Batalion 8 menerusi Op Taring Wawasan selepas melihat sebuah treler dan dua lori dalam keadaan mencurigakan pukul 12.30 tengah malam kelmarin.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan sedang memindahkan sejumlah 45,100 kg kelapa dari treler ke lori selain gagal menunjukkan dokumen pembelian.

“Anggaran rampasan bernilai RM1.35 juta termasuk kenderaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 4(2) Akta FAMA 141 Rancangan Pemasaran Kelapa 1973.

“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat FAMA Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam operasi berasingan, Datuk Nik Ros Azhan berkata, pihaknya berjaya merampas 11 lembu seludup serta dua lori membabitkan nilai hampir RM330,000 di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah dan Kampung To’ Uban, Pasir Mas, kelmarin.

Rampasan di Tanah Merah membabitkan lapan ekor lembu sebelum rampasan kedua di Pasir Mas membabitkan tiga lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Pada masa sama, dua lelaki tempatan berusia 34 tahun yang berperanan sebagai penghantar binatang itu di tahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

MOHAN CHINNASAMY