fb fb fb fb fb

PGA tumpas kegiatan gali pasir haram dan seludup kelapa di Kelantan

Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan menggali pasir secara haram di kawasan sungai dekat Kampung Pahi, Kuala Krai. Foto- FB Briged Tenggara PGA Rasmi

KOTA BHARU, 13 Mei - Pasukan Gerakan Am menumpaskan dua kegiatan haram dalam Op Taring Wawasan di Kelantan, Ahad lalu.

Menurut kenyataan Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, kegiatan menggali pasir secara haram dikesan di kawasan sungai Kampung Pahi, Kuala Krai.

Operasi dijalankan sekitar 4.15 petang bersama Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu.

Enam lelaki termasuk tiga warga Bangladesh ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen atau permit pemindahan pasir yang sah.

Turut dirampas, rumah penyedut pasir, jengkaut, lori dan pelbagai peralatan dengan nilai anggaran RM2 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.

Dalam operasi berasingan, beliau berkata, PGA turut menumpaskan cubaan menyeludup kelapa di Kampung Terbak, Tumpat.

Tiga lelaki tempatan ditahan ketika memindahkan 45,100 kilogram kelapa dari sebuah treler ke dua lori.

Suspek gagal mengemukakan dokumen pembelian sah.

Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.35 juta.

Kes disiasat di bawah Peraturan 4(2) Akta FAMA dan diserahkan kepada Pejabat FAMA Kota Bharu.-BERNAMA

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN