fb fb fb fb fb

Siasatan menyeluruh kemalangan babitkan pelajar, anggota polis di Kedah

Gambar hiasan

KUALA KETIL, 2 Ogos - Polis akan mendapatkan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan membabitkan seorang pelajar bermotosikal, dirempuh kereta dipandu anggota polis yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Pekan Guar Chempedak pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah, CP Adzli Abu Shah berkata, anggota polis terbabit telah ditahan semalam untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

"Kita masih jalankan siasatan, saya juga telah bercakap dengan Ketua Polis Daerah (OCPD) untuk segerakan siasatan.

"Semalam PDRM ada buat lawatan kebajikan ke atas ahli keluarga mangsa, kita amat menyesali kejadian ini. Memang saya bersimpati dengan mereka dan tidak akan bertolak ansur atas kecuaian," tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Taman Angkat AMANITA Taman Desa Bidara, di sini.

Menurut beliau, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian terbabit

Isnin lalu, Pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16 tahun, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut meninggal dunia pada Khamis selepas hampir tiga hari menerima rawatan di Unit Rawatan Tapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI